Hantu kak limah balik rumah

Dibintangi oleh

Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Zami Ismail, Man Kadir, Avaa Vanjaa, Delimawati, Shy8, Sofi Jikan dan Pekin

Genre

Fiksyen, Komedi, Ngeri, Mistik

Ulasan

Jika anda inginkan satu bentuk hiburan yang ringan dan relaks, apa kata anda menonton filem terbaru terbitan Tayangan Unggul berjudul Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR).

Kesinambungan filem Zombie Kampung Pisang yang dihasilkan dalam komedi seram ini memperlihatkan pemikiran menarik dari pengarah kreatif, Mamat Khalid dalam sebuah satira yang mudah.
Husin pulang ke kampung
Garapan idea Mamat dalam menghasilkan skrip komedi yang disadur elemen sinis cukup mengesankan. Penonton diberikan peluang untuk menonton filem ini pada lapisan yang mahu mereka tonton. Bagi penonton biasa tentunya mereka hanya mahukan hiburan ringan, itulah yang dihidangkan oleh Mamat untuk mereka. Namun, bagi penonton yang mahu berfikir, mereka boleh menyaksikan filem ini dan menilai lapisan kedua, mahu pun ketiga yang terdapat dalam filem tersebut.

Bagi yang tidak pernah menonton sekuel sebelum ini, jangan risau, kerana anda masih lagi boleh memahami jalan ceritanya. Skripnya yang ringan dan lucu mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak malah ada satu ketika akan membuat penonton berdebar dan menjerit ketakutan.

Di sebalik aksi lucu dan seram yang dipaparkan, terselit juga unsur kritikan dan sindiran dalam filem ini. Selain itu, watak-watak yang ada dalam filem ini sudah cukup untuk menambat dan mencuit hati penonton.
Hantu Kak Limah Balik Rumah
HKLBR mengisahkan tentang Husin yang telah lama bekerja di Singapura dan mengambil keputusan balik ke kampung halamannya iaitu Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam.

Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu.

Abi Hurairah juga setuju dengan pendapat Husin kerana beliau juga mengalami peristiwa pelik ketika melihat Kak Limah di kawasan kubur. Pak Jabit yang memang bengang dengan Husin kerana memutuskan ikatan kasih dengan anak gadisnya, Che Nin, menuduh Husin adalah pembawa nasib buruk kepada Kampung Pisang.
Penduduk kampung berbincang
Sebelum ini keadaan aman damai, sebaik sahaja Husin muncul, keadaan kembali kacau bilau. Pak Abu mencadangkan agar mereka menyiasat apa yang berlaku sebenarnya. Beramai-ramai mereka ke rumah Kak Limah. Mereka menemui mayat Kak Limah yang hampir reput. Namun, setelah pengebumian jenazah Kak Limah, kampung mereka masih dihantui makhluk misteri di tengah-tengah malam.

Pelbagai bomoh dipanggil untuk menghalau hantu, malangnya tiada satupun bomoh yang berjaya menghalau hantu tersebut. Hantu apakah itu sebenarnya? Siapa yang berjaya menghurai misteri hantu Kak Limah tersebut? Temui jawapannya dalam ‘Hantu Kak Limah Pulang Ke Rumah’ di pawagam berhampiran anda bermula 9 Disember ini.
Bomoh menghalau hantu...

Info

Info : Filem yang menelan kos sebanyak RM 1.5 juta ini mengambil masa selama 27 hari pengambarannya di sekitar Kuala Kangsar, Perak.


gua.com.my